Monday, February 27, 2012

CerpenMangkuk : Amran Salah Rumah

Amran merupakan seorang pemuda yang rajin bekerja. Siang malam dia bekerja tanpa jemu demi untuk menyara kehidupannya sendiri dan juga orang tuanya di kampung. Sudah 8 tahun Amran tidak pulang ke kampung halamannya kerana terlalu sibuk bekerja. Pada suatu hari, Amran mengambil keputusan untuk pulang ke kampung untuk melawat orang tuanya yang sudah lama tidak bertemu. Sebaik pulang dari kerja, tanpa berlengah, Amran terus berkemas dan segera menuju ke terminal bas untuk membeli tiket pulang ke kampung. Setelah melalui 8 jam perjalanan, akhirnya Amran tiba di kampungnya pada pukul 8 pagi.

Sampai di depan rumahnya, Amran memberi salam. "Assalamualaikum ohhhh assalamualaikum!". Kedengaran satu suara yang tidak asing lagi bagi Amran iaitu suara ibunya menjawab dari dalam. "Waalaikummussalam ohhh waalaikummussalam!". Amran berasa tidak sabar untuk bertemu dengan ibunya yang sudah 8 tahun tidak bersua. Sebaik sahaja pintu rumah dibuka, Amran berasa sangat terkejut kerana apa yang dilihatnya adalah seorang perempuan yang kelihatan sangat muda. Amran berasa sangat terkejut dan terpinga-pinga memikirkan bagaimana ibunya boleh menjadi semuda itu.

Sedang Amran terpinga-pinga, kedengaran satu suara yang agak kuat datang dari rumah sebelah. "woiii, rumah kau kat sini lah woiii! yang kau tercegat kat situ kenapa?!". Rupanya itu suara Makcik Limah, iaitu ibu Amran. Rupanya, Amran telah tersalah rumah. Beliau lupa tentang kedudukan rumahnya. Amran terus beredar meninggalkan perempuan muda tadi yang berdiri dengan penuh kehairanan dan terus berlari menuju ke ibunya. Setibanya di depan pintu rumah, Amran segera mendapatkan ibunya untuk bersalam. Tiba-tiba, seorang pemuda yang entah dari mana datangnya, terus memotong Amran lalu terus bersalam dengan Makcik Limah dan mereka berdua terus menuju ke dalam rumah sambil bersembang dan menutup pintu. Amran sekali lagi terpinga-pinga. Rupanya, orang yang Makcik Limah jeritkan tadi adalah anak beliau, iaitu si Megat, dan bukannya Amran. Amran tersalah rumah lagi.

Amran mula bingung memikirkan apa yang sedang terjadi. Amran terduduk lalu berbaring di atas tanah memikirkan tentang nasibnya yang begitu malang kerana beliau lupa di mana rumahnya sendiri. Sedang Amran termenung, tiba-tiba kedengaran satu suara menyapa Amran. "Encik Amran, anda kini sedang berada dalam rancangan Bang Bang Boom!! kahkahkah!". Serentak dengan itu, kedengaran suara gelak tawa yang sangat kuat dari sekeliling. Amran bangun dan memerhatikan keadaan sekelilingnya. Amran melihat ramai orang sedang mentertawakannya termasuklah perempuan muda tadi, Makcik Limah dan juga Megat. Kelihatan juga beberapa orang manusia sedang memegang kamera dan dihalakan tepat kepadanya.

Tanpa sedikitpun mengukir senyum, Amran bingkas bangun dan terus berlari menuju ke tepi jalan. Kebetulan, ada sebuah teksi sedang bergerak tidak jauh dari tempat Amran berdiri. Amran menahan teksi tersebut dan terus pulang menuju ke rumahnya. Setibanya di rumah, Amran melihat rumah yang dia sewa, telahpun didiami oleh sebuah keluarga. Amran terpinga-pinga. Amran salah rumah lagi.

1 comment:

nine said...

masyaAllah, harap amran tak salah rumah lagi. Macam kisah kau jek aqim aduhhh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...