Saturday, July 21, 2012

Misteri Motor Sadiq

"Kepala hotak dia. Kepala hotak dia." bebel Sadiq Rukiman, pemuda jawa anak pembuat tauhu di kampung Beruang Berahi. Enjin motornya tak mahu hidup di tengah malam buta ni. Beliau lihat papan tanda disebelah. Jelas terpampang tulisan jawi bertulis Tanah Perkuburan Islam Kg Beruang Berahi.

Sadiq menyorong motornya. Peluh jantannya sudah habis menitik. Sekarang peluh pondan pula yang keluar. Bacaan bismillah diulang-ulang dari tadi. Nak harapkan baca doa atau ayat kursi bukan dia tahu. Sepanjang hidup Sadiq, beliau pernah pergi sekolah agama duabelas  hari je. Selebihnya beliau ponteng dan beli jajan tikam di kedai Wak Saman. kebanyakan masanya habis dua ringgit untuk beli tikam dan hasilnya cuma pemadam gambar pikachu sebiji.

Memandangkan lampu jalan sudah lima bulan rosak, pandangan Sadiq di malam pekat itu terhad. Jika ada Miley Cyrus pakai bikini dua meter didepannya sekalipun belum tentu beliau nampak warna bikini tersebut. Sedang beliau menyorong motornya, tiba-tiba terasa motornya berat. Terasa seolah-olah ada sesuatu yang menarik motornya. Semakin lama semakin kuat tarikannya. Jantung beliau berdegup kencang. Peluh jantan, peluh pondan dan peluh Justin Bieber bergabung tenaga mengalir dari rongga kulit badannya. Dan secara tiba-tiba kedengaran satu suara perempuan menegurnya, "Sadiqqqqq......."


"Ah sudahhhh!!!!!"


Sadiq lari lintang pukang. Kelajuan lariannya boleh mengatasi rekod Usain Bolt dan Watson Nyambek. Motornya ditinggal ditempat kejadian. Sadiq demam lima minggu akibat kejadian itu. Setelah dia datang kembali ketempat kejadian, motornya telah hilang.












"Dan itulah cerita kenapa aku boleh jalan-jalan naik motor sekarang ni. Heh heh heh " ujar seekor pontianak kepada rakan-rakannya yang kagum dengan cerita beliau.


    

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...