Saturday, April 27, 2013

Hasan Nawawi dan surat cinta

Hasan Nawawi terlihat seorang gadis dari jauh. Gadis yang selalu diangan-angankan jadi awek beliau. Dulu awek comel dan kecil molek tu single, namun akibat lambat membuka langkah, hati gadis tu dah dipunyai seorang lelaki. Yang tinggal cuma limpa, paru-paru, hempedal, buah pinggang dan organ-organ lain yang tak ada kena mengena dengan cerita ini. Mereka berdua nampak mesra bergurau senda. Hasan Nawawi terasa pilu. Sayu. Jika hidupnya adalah filem muzikal, akan beliau nyanyikan lagu Siti Nurhaliza,

"Sayuuu.......hati ini...makin sayuuu....Rinduuu.....terkenangkan desa permai.."

Namun itu adalah lagu raya. Beliau capai gitar untuk menyanyikan sebuah lagu yang lain untuk memujuk hati yang patah. Selepas memetik dua tiga tali gitar, baru Hasan Nawawi teringat bahawa beliau tak pandai main gitar. Beliau letak semula gitar dengan hampa. Entah gitar siapa beliau pun tak tahu.

Hasan Nawawi tak berputus asa. Jiwanya terasa membuak-buak, tidak tenteram. Beliau capai sehelai kertas, beliau tulis puisi cinta berdasarkan apa yang dirasakan dalam hatinya.

"Kau bagaikan bintang berkelipan, 
Masak ranum di kayangan,
Wajahmu bagaikan buah mempelam,
Bercahaya di waktu malam"

Lebih kurang macam tu lah intro puisi beliau. Hasan Nawawi melipat kertas itu menjadi bentuk kapal terbang. Beliau terbangkan keluar dari tingkap dengan harapan gadis comel itu akan terjumpa dan membaca luahan hatinya. Entah kemana kapal terbang tu pergi tak ada siapa pun tahu.

Esok pagi Hasan Nawawi didenda oleh pejabat pengurusan kolej kerana membuang sampah merata-rata.



   

1 comment:

Encik Atan said...

bapak tak sedap siak intro puisi dia..haha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...